suria

BN Pusat Disaran Tubuh Jawatankuasa Disiplin Tangani Sabotaj

TAWAU: Barisan Nasional (BN) pusat disaran membentuk jawatankuasa disiplin khusus untuk mengekang sebarang unsur khianat dan sabotaj ke atas calon BN oleh anggota atau pemimpin parti komponen BN sendiri, pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Ketua Umno Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata perbuatan khianat dan sabotaj ke atas calon BN tidak mustahil berlaku terutama oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan pemilihan calon BN.

"Mungkin ada 'orang dalam' BN sendiri yang tidak berpuas hati dan mungkin bertindak mensabotaj parti, seperti menaja calon Bebas. Oleh itu, BN perlu menubuhkan jawatankuasa disiplin seperti yang dilakukan oleh Umno untuk mengekang perkara ini," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Beliau berkata semua anggota dan pemimpin BN seharusnya akur dengan pemilihan calon yang diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN dan kini masanya untuk semua bersatu hati memastikan B Nmenang di semua kerusi yang ditandingi.

Abdul Ghapur berkata selaku pengerusi BN Bahagian Kalabakan, beliau akan melaporkan kepada pucuk pimpinan BN bagi sebarang perbuatan sabotaj.

Mengenai PRU13, beliau yakin semua calon BN yang bertanding di kawasan Kalabakan akan meraih kejayaan besar.

Abdul Ghapur akan bertanding di kerusi Parlimen Kalabakan manakala tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bahagian itu diwakili Datuk Pang Yuk Ming (Merotai), Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu) dan Abd Muis Picho (Sebatik). -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain