suria

Transformasi Politik BN Cukup Drastik - Sivamurugan

PUTRAJAYA: Penampilan 33 peratus muka baharu bagi kerusi parlimen dan 49 peratus kerusi Dewan Undangan negeri dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 ini menggambarkan wujudnya transformasi politik yang cukup drastik dalam parti itu, kata Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian.

Beliau berkata kemunculan mereka pasti memberi nilai tambah kepada BN, namun akhirnya mereka juga harus berusaha keras untuk memperkukuh jentera pilihan raya masing-masing dalam usaha meningkatkan tahap sokongan.

Menurutnya kemunculan pemimpin-pemimpin muda ini bukan bertujuan memberi kemenangan kepada BN semata-mata, tetapi juga untuk menunjukkan kepada generasi muda bahawa sudah ada perubahan besar yang berlaku dalam parti itu.

Katanya, beliau melihat perubahan dalaman itu mampu untuk bersaing dengan perubahan dilakukan parti-parti pembangkang, yang pada 2008 sudahpun menampilkan calon-calon yang muda.

"Saya percaya perubahan dalaman BN ini pasti akan diambil kira, terutama oleh pengundi atas pagar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Seminar Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Penulis di Auditorium Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, Rabu.

Pandian berkata gandingan tokoh lama dan calon-calon baru BN akan mewujudkan keseimbangan dalaman, dan menurutnya keserasian mereka dapat memastikan bahawa tunjang kekuatan parti masih berteraskan kepada kekuatan menyeluruh, bukan kekuatan pengundi baru semata-mata.

Menurutnya sabotaj dalaman oleh nama-nama yang digugurkan dari senarai calon pastinya tidak dapat dielakkan, dan itulah yang harus dilihat dalam beberapa hari ini supaya ia tidak menjejaskan persiapan yang dibuat selama empat tahun sebelum ini.

Sementara itu merujuk kepada pertembungan antara calon rakan BN Datuk Zulkifli Noordin dengan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad di kawasan parlimen Shah Alam, beliau berkata ia merupakan pertembungan sengit yang menyaksikan BN memperkenalkan konsep "calon rakan BN" buat pertama kali.

"Dilema di sini adalah sejauh mana jentera di situ akan mengukuhkan kedudukan untuk membantu (Zulkifli) kerana selama ini dia dilihat berada di luar BN. Cabaran besar apakah pengundi akan lihat (pilih) calon atau parti," katanya.

Forum itu berlangsung tanpa kehadiran Tun Dr Mahathir kerana mantan perdana menteri itu mewakili kerajaan Malaysia pada upacara pengkebumian bekas perdana menteri Britain, Baroness Margaret Thatcher, hari ini.

Antara ahli panel dan pembentang kertas kerja di seminar itu ialah Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Ekonomi Bernama, Datuk Zakaria Wahab yang juga bekas setiausaha akhbar Tun Dr Mahathir, Tokoh Wartawan Negara Datuk A.Kadir Jasin, dan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Universiti Utara Malaysia Prof Dr Abdul Rahman Abdul Aziz. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain