suria

Sepasang Kekasih Warga Asing Ditahan, Dadah Bernilai RM120,000 Dirampas

KUALA LUMPUR: Polis menahan sepasang kekasih warga asing dan merampas Methamphetamine bernilai RM120,000 di sebuah pangsapuri di Jalan Tun Razak di sini Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, ACP Wan Abdullah Ishak berkata lelaki Nigeria berusia 26 tahun dan wanita Madagascar berusia 23 tahun itu, yang merupakan penuntut institusi swasta, dipercayai aktif dalam pengedaran dadah di sekitar kawasan Kuala Lumpur sejak dua bulan lepas.

"Pasangan itu ditahan ketika berunding dengan pelanggan mereka di pangsapuri berkenaan," katanya pada sidang berita di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Rabu.

Ketika memeriksa pangsapuri itu, Wan Abdullah berkata polis menemui beberapa bungkusan plastik dipercayai mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat satu kilogram.

Menurutnya, polis turut menahan lima lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua wanita Vietnam yang berusia antara 23 dan 40 tahun yang dipercayai pelanggan pasangan itu. "Ujian air kencing mendapati tujuh daripada mereka positif Methamphetamine," katanya.

Wan Abdullah berkata kesemua mereka direman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain