suria

PRU-13: BN Sarawak Lancar Manifesto Tambahan

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak melancarkan manifesto bertema 'A Promise of Hope, Secure Your Future With BN,' sebagai tambahan kepada manifesto kebangsaan yang dilancar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi BN negeri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata manifesto itu akan memperjelas bagaimana Sarawak akan melaksanakan manifesto kebangsaan BN. "Kami ingin memastikan manifesto kebangsaan dilaksana mengikut cita rasa Sarawak namun mencapai hasil yang sama," katanya ketika melancarkan manifesto itu di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) pada Rabu.

Beliau berkata manifesto tambahan itu menggariskan lima teras ke arah mencapai tadbir urus baik; transformasi ekonomi negeri; tansformasi luar bandar; kemakmuran rakyat dan persekitaran yang mampan.

"Dalam meneruskan tadbir urus yang baik, Sarawak telah diberi perakuan kesihatan yang baik oleh Ketua Audit Negara untuk 10 tahun berturut-turut," kata Taib, yang juga Ketua Menteri dan Presiden PBB. Dalam mentransformasi ekonomi negeri, Taib berkata BN akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk semua menerusi Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Beliau berkata SCORE, yang bakal dipacu 10 industri pencetus yang akan mempertingkat pendapatan per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada RM37,287 yang dicatat tahun 2010 kepada RM45,000 pada 2020 dan RM97,500 pada 2030.

Mengulas transformasi luar bandar, Taib berkata BN Sarawak akan terus menyediakan rangkaian jalan raya, bekalan elektrik dan air, mempertingkat perkhidmatan kesihatan, kemudahan pendidikan dan perumahan, merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar serta memperbaiki keadaan sosioekonomi melalui program pertanian, keusahawanan dan pembasmian kemiskinan.

Bagi memelihara parti rakyat, BN akan terus mempertingkat penglibatan rakyat dalam memperkukuh perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum, memelihara budaya, warisan dan keharmonian di kalangan semua kaum selain memastikan keperluan dan kebajikan rakyat dipenuhi.

"Kami akan terus memastikan persekitaran dilindungi dan pembangunan sumber asli kita adalah mampan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain