suria

Polis Johor Bincang Isu Keselamatan Dengan Calon Pilihan Raya

JOHOR BAHARU: Polis Johor akan mengadakan pertemuan dengan calon, wakil calon, ejen dan wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan isu-isu berkaitan keselamatan bersempena Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pertemuan pada esok bersama Ketua Polis di setiap daerah masing-masing itu bertujuan mencari pendekatan terbaik dalam melicinkan proses pilihan raya terutama pada hari penamaan calon, Sabtu ini.

"Polis akan memberikan pelbagai pandangan dan nasihat supaya proses pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang insiden. "Kita mahu semua pihak terutamanya penyokong mematuhi undang-undang dan memberi kerjasama sepanjang tempoh pilihan raya," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia Untuk Mangsa Pencerobohan Bersenjata Lahad Datu dan Semporna, Sabah, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, Rabu .

Pada majlis tersebut, Jabatan Pelajaran Daerah Johor Baharu dan Hotel Mutiara menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM66,800 kepada tabung itu. Turut berlangsung pada majlis itu ialah upacara serah terima tugas pelantikan ACP Zulkifli Ali sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor yang baru menggantikan ACP Kamaruddin Ab Aziz yang bersara.

Mohd Mokhtar berkata seramai 8,703 pegawai dan anggota polis ditugaskan di seluruh negeri ini sepanjang tempoh pilihan raya dan polis juga akan berusaha mengawal kesesakan lalu lintas terutama pada hari penamaan calon dan pengundian. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain