TAWAU: Anggota Polis Bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berjaya menahan seorang suspek pencuri kabel ketika dia cuba mencuri kabel elektrik milik SESB di Jalan Eastern di sini, malam Selasa.Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir. Ahmad Fuad Md Kasim berkata suspek, seorang lelaki rakyat tempatan berumur 18 tahun, ditahan kira-kira pukul 8.30 malam ketika dia dengan dua lagi rakannya berkelakukan mencurigakan berhampiran pencawang elektrik milik SESB. "Tiada gangguan elektrik berlaku kerana tindakan segera telah diambil dengan menahan suspek tersebut sebelum beliau sempat memotong kabel elektrik berkenaan," kata Ahmad Fuad dalam kenyataan di sini pada Rabu.Katanya turut dirampas di tempat kejadian adalah beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan yang tidak baik. Suspek telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya namun SESB tidak menyebut nasib dua lagi rakan suspek.Pada Mac lalu, tiga suspek berjaya ditahan anggota kerja dan anggota keselamatan SESB di lokasi yang sama kerana cuba mencuri kabel.Ahmad Fuad meminta orang ramai yang melihat individu berkelakuan mencurigakan berhampiran pencawang elektrik milik SESB supaya segera menghubungi talian khas 088-282455, yang dipantau 24 jam oleh anggota keselamatan SESB terutama yang melibatkan aset dan keselamatan syarikat. -BERNAMA