suria

Pelajar & Guru Sesak Nafas Terhidu Asap Beracun

KUALA LUMPUR: Seramai 19 orang pelajar dan dua guru Sekolah Menengah Kebangsaan Datok Lokman di Jalan Kampung Pandan di sini pada Rabu dilapor mengalami sesak nafas serta muntah akibat terhidu asap beracun ekoran kebakaran tong bahan sisa kimia.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata kesemua mereka menerima rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang.

Beliau berkata para pelajar dan guru berkenaan mengalami sesak nafas dan muntah-muntah dipercayai kesan ammonia yang merupakan salah satu komponen kimia yang terbakar itu.

Selain ammonia, antara bahan kimia lain yang didapati turut berada dalam tong tersebut ialah magnesium, sodium dan zink, katanya.

Ketika kejadian pada pukul 11.30 pagi tadi itu, lapan buah tong berisi 229 jenis sisa bahan kimia sedang dipindahkan ke dalam sebuah lori khas untuk dibawa ke loji pelupusan di Bukit Nanas, Negeri Sembilan. Proses itu berlaku berhampiran makmal sekolah tersebut, kata Azizan kepada pemberita di tempat kejadian.

"Kebakaran berlaku di bahagian dalam lori berkenaan apabila salah satu daripada enam tong yang telah dimasukkan ke dalam lori, tiba-tiba meletup dan terbakar," tambahnya.

Namun dua pekerja yang menguruskan bahan kimia berkenaan tidak mengalami kecederaan. Azizan berkata kebakaran dipercayai berlaku apabila terdapat tindak balas kimia di dalam salah satu tong berkenaan dan bukannya akibat kecuaian mana-mana pihak.

"Mungkin terdapat botol-botol yang pecah apabila diletakkan di dalam tong tersebut. Lebih-lebih lagi ada antara bahan kimia tersebut berusia lebih 25 tahun," katanya.

Beliau berkata tindakan pantas bomba memadamkan kebakaran dengan serbuk kering berjaya mengekang api daripada terkena tong-tong yang lain termasuk dua tong yang berada di luar lori tersebut.

Azizan berkata sebaik berlaku kebakaran, para pelajar sekolah berkenaan telah diarah meninggalkan kelas masing-masing, bagaimanapun 19 pelajar terbabit telah terhidu asap beracun yang dihasilkan daripada kebakaran tersebut.

Pihak bomba mengambil masa empat jam untuk memastikan asap beracun di kawasan sekolah tersebut betul-betul hilang sebelum menamatkan operasi lebih kurang pada pukul 4 petang ini, katanya.

Beliau berkata sekolah tersebut turut ditutup hari ini bagi membolehkan pihak bomba membersihkan sekolah daripada bahan kimia tersebut.

Seorang pelajar Tingkatan Lima, Erimahsuri Lamijan berkata dia terdengar bunyi letupan kuat sebanyak dua kali sebelum arahan keluar dari kelas diberikan pihak sekolah. "Masa letupan pertama bunyi tak kuat sangat, tetapi letupan kedua agak kuat. Masa letupan kedua guru suruh keluar dan berkumpul di padang sekolah," katanya.

Sementara itu Kualiti Alam Sdn Bhd berkata mereka dilantik pihak sekolah itu sebagai pengangkut untuk membawa bahan kimia yang sudah lupus tarikh itu ke tempat pembuangan untuk dilupuskan.

"Kami ingin menjelaskan bahawa kami tidak diberi kontrak untuk mengurus pembungkusan, pengendalian dan pemuatan bahan kimia tersebut ke dalam trak kami," katanya dalam satu kenyataan.

Atas permintaan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kualiti Alam akan menjalankan kerja-kerja pembersihan sekolah itu serta merta. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain