suria

PAS Dan PKR Bertelagah Kerusi Parlimen Labuan - Muhyiddin

LABUAN: Pertelagahan antara PAS dan PKR berhubung pemilihan calon bagi Wilayah Persekutuan Labuan menunjukkan pakatan pembangkang tidak bersepakat atau secocok antara mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata mereka masih belum mencapai kata sepakat mengenai calon sesuai bagi Labuan.

"Bagi kami, Barisan Nasional (BN) fokus dalam menjamin perpaduan dan kesepakatan bagi kemenangan BN pada pilihan raya umum kali ini.

"Bagi BN, semuanya baik, mereka (PKR dan PAS) boleh bergaduh sesama sendiri, elok begitu, tetapi kita tidak boleh pandang remeh dan berasa selesa," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan terminal teksi dan bas berharga RM5.6 juta di sini Rabu.

Muhyiddin berkata: "Saya diberitahu (Ketua Pembangkang dan Penasihat PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim datang ke Labuan untuk meletakkan calon PKR tetapi PAS juga menuntut kerusi Labuan. Bagi kami (BN), baguslah, lagi ramai lagi meriah.

"Jika terdapat lebih daripada satu calon untuk bertarung dengan BN di Labuan, ia lebih baik bagi kami. Ini bermakna tiada kesepakatan di antara mereka mengenai siapa yang sesuai menjadi calon mereka," kata Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno.

Katanya pertelagahan dalam pembahagian kerusi di kalangan parti-parti dalam pakatan pembangkang berlaku di seluruh negara, dengan DAP dan PKR mengumumkan calon mereka lebih awal di negeri-negeri tertentu walaupun rundingan masih berjalan. "Ini telah menimbulkan kemarahan, ketidakpuasan dan kekecewaan di kalangan anggota yang tidak bersetuju. Bagi BN, semuanya baik. Kita tidak boleh pandang remeh atau berasa selesa dan alpa. "Masalah itu berlaku dalam pakatan pembangkang, itu masalah mereka. Kita (BN) perlu terus memperkukuhkan perpaduan. Apa yang penting ialah memenangi pilihan raya ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain