suria

Mohan Keluar Gerakan, Tanding Sebagai Calon Bebas Di Batu Kawan

NIBONG TEBAL: Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu Kawan, A. Mohan meninggalkan parti Gerakan dan akan bertanding sebagai calon bebas di kerusi tersebut.

Naib Pengerusi Gerakan Permatang Pauh berusia 53 tahun itu berkata, beliau kecewa kerana parti tidak mencalonkannya untuk bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada Isnin mengumumkan bekas Naib Presiden PKR, N. Gobalakrishnan sebagai calon pilihan parti untuk bertanding di Batu Kawan.

"Saya setia berkhidmat kepada penduduk di Batu Kawan selama empat tahun.

"Menggugurkan saya daripada senarai Barisan di Pulau Pinang menunjukkan khidmat saya tidak dihargai," katanya pada sidang media di Taman Kasawari, Simpang Ampat di sini, Selasa.

Mohan yang menjadi anggota Gerakan selama 30 tahun berkata sudah bosan dan ingin keluar daripada parti itu.

Beliau berkata, para penyokongnya meminta beliau berbuat demikian untuk meneruskan perjuangan politiknya sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Sekiranya saya memenangi kerusi itu, saya akan menggunakan dana sendiri untuk berkhidmat kepada rakyat sebagai calon bebas.

"Penduduk di sini mengenali saya dengan lebih dekat kerana saya banyak membantu dalam menyelesaikan banyak masalah yang ditanggung masyarakat India di sini," katanya.

Mohan berkata, beliau yakin menjadi calon boleh menang.

"Saya akan mempertimbangkan untuk bersama dengan Parti Kita pada pilihan raya dan mesra kepada Pakatan Rakyat jika memenangi kerusi itu," katanya.

Ahli jawatankuasa eksekutif Pusat DAP Dr P.Ramasamy menewaskan Dr Koh dengan majoriti 9,485 undi di kerusi Parlimen Batu Kawan pada pilihan raya umum 2008.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain