suria

Mat Taib Tiada Maruah Jika Sertai Pas

Muhammad Muhd Taib
Muhammad Muhd Taib
Muhammad Muhd Taib

MUAR: Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik menyifatkan tindakan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib jika benar berhasrat menyertai Pas pada 22 April ini sebagai tidak ada harga diri.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, Muhammad atau lebih mesra dikenali sebagai Mat Taib tidak seharusnya berbuat demikian yang dilihat mengutamakan kepentingan diri melebihi perjuangan parti.

"Kalau merajuk pun tapi jangan buat keputusan melebihi kepentingan nasional. Ini (setia kepada parti) adalah satu pengorbanan supaya perjuangan kita berjaya. Agenda peribadi tidak boleh atasi perjuangan parti atau organiasi.

"Kalau beliau buat keputusan ini (maknanya) dia rendahkan martabat diri sendiri. Saya harap ini tidak akan berlaku," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Bengkel Pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP) Peringkat Negeri Johor di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar, dekat sini, Rabu.

Beliau mengulas spekulasi menyatakan bahawa bekas menteri besar yang akan menyertai Pas dalam masa terdekat itu adalah Mat Taib sebagaimana yang didedah oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin baru-baru ini.

Rahim seterusnya melahirkan rasa hairan bagaimana seorang pejuang Umno seperti Mat Taib sanggup atau tergamak menyertai Pas.

Jelasnya, ini kerana parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam itu sudah terlalu banyak mengkhianati agama Islam itu sendiri terutama dalam mengkompromikan isu kalimah Allah, menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) selain berkawan dengan DAP yang anti-Islam.

Terdahulu ketika berucap, beliau yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengingatkan kira-kira 450,000 pekebun kecil di seluruh negara supaya tidak melupakan jasa pihak yang telah membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Beliau mahukan masyarakat pekebun kecil terus meyokong segala usaha kerajaan membantu mereka terutama hasrat meningkatkan pendapatan sehingga RM2,500 sebulan untuk tanaman seluas 2.5 hektar tercapai menjelang 2015.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain