suria

Manifesto BN Selangor Mampu Dilaksanakan Dalam Bulan Pertama - Mohd Zin

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor yakin manifesto tambahan untuk negeri itu yang dilancarkan malam ini mampu dilaksanakan dalam bulan pertama selepas BN kembali memerintah negeri itu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.

Penyelaras BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata manifesto itu dapat dilaksanakan kerana pihaknya telahpun membuat ujian dinamik kewangan berdasarkan unjuran pendapatan kerajaan negeri sebanyak RM2 bilion.

"Kita sudahpun buat ujian kedayamajuan berhubung manifesto ini dan sekiranya BN menubuhkan kerajaan, dalam bulan pertama kita boleh melaksanakan apa yang terkandung dalam manifesto.

"Segala aku janji yang digariskan dalam manifesto ini menentukan negeri Selangor menjadi pendahulu di dalam usaha transformasi yang sedang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak," katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Zin berkata pihaknya menjangkakan perbelanjaan tahun pertama bagi melaksanakan manifesto melibatkan perbelanjaan lebih RM629 juta, tahun kedua lebih RM491 juta dan tahun ketiga RM417 juta dan tahun keempat RM412 juta.

Beliau berkata manifesto itu yang mendahulukan kepentingan, keperluan, kehendak dan keinginan rakyat Selangor dibuat berpandukan kepada kajian sikap yang dilakukan oleh pasukan pemantau khas BN Selangor dengan semua pengundi di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Beliau berkata manifesto itu dirangka berdasarkan keperluan rakyat hasil maklum balas dan hasil siri lawatan dan juga program Nurani Rakyat di Selangor.

Berhubung pemberian 20 meter padu air percuma seperti yang dijanjikan dalam manifesto, Mohd Zin, yang juga Timbalan Pengarah Jentera BN Selangor, berkata pihaknya menjangkakan perbelanjaan keseluruhan RM170 juta bagi inisiatif itu termasuk penukaran meter pukal kepada individu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata manifesto tambahan itu adalah bersifat boleh ditunai dan dilaksanakan serta dibuat berdasarkan pendapatan negeri.

Beliau berkata Najib sendiri mengingatkan BN Selangor ketika draf manifesto itu supaya melihat keadaan realiti di mana memastikan aku janji yang dibuat mampu dilaksanakan.

"Sekarang bukan zaman politik tabur janji, tetapi realiti kerana rakyat sudah bijak menilai. Oleh sebab itu jika kita menang kita kena melaksanakan apa yang dijanji," katanya.

-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain