suria

Kerajaan Bangunkan Model Pembiayaan Rumah Untuk Penggiat Seni

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan sebahagian artis-artis yang hadir pada majlis Ramah Mesra Bersama Penggiat Seni dan Ikon Negara di Seri Perdana Putrajaya pada Rabu.-Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan sebahagian artis-artis yang hadir pada majlis Ramah Mesra Bersama Penggiat Seni dan Ikon Negara di Seri Perdana Putrajaya pada Rabu.-Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan sebahagian artis-artis yang hadir pada majlis Ramah Mesra Bersama Penggiat Seni dan Ikon Negara di Seri Perdana Putrajaya pada Rabu.-Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kerajaan akan berusaha membangunkan satu model pembiayaan yang bakal membolehkan kalangan anggota penggiat seni tanah air memperoleh pembiayaan bagi membeli rumah mampu milik yang selesa dan sempurna.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ketika ini rata-rata kalangan mereka menghadapi masalah mendapatkan pinjaman bagi membeli rumah, kerana pihak bank biasanya agak keberatan untuk meluluskan pembiayaan.

Menurutnya ini kerana kumpulan berkenaan tidak mempunyai 'slip gaji' bagi menunjukkan mereka mempunyai pendapatan yang tetap, dan pendapatan yang tidak menentu sememangnya menyukarkan peluang untuk mendapatkan pinjaman.

"Saya maklumkan perkara ini kepada Ketua Eksekutif Prima (Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia) yang ada bersama kita hari ini, supaya mengkaji satu model, yakni pembiayaan akhir bukan konvensional, khusus bagi mereka yang jenis kerja seperti ahli-ahli seni ini yang tidak ada pendapatan tetap," katanya semasa berucap pada majlis Ramah Mesra bersama Ikon dan Persatuan Seni Budaya Tanah Air di Sri Perdana di sini.

Perdana Menteri turut mengumumkan keputusan kerajaan untuk memanjangkan pemberian Kad Diskaun 1Malaysia buat golongan penggiat seni tanah air yang berdaftar.

Beliau berkata kerajaan tidak ada masalah memberikan kad itu yang ketika ini diberikan kepada anggota polis dan tentera, untuk dipanjangkan kepada golongan penggiat seni.

Sementara itu, merujuk kepada dana industri kreatif, Najib berkata beliau dimaklumkan bahawa ketika ini terdapat RM112 juta dalam dana tersebut, dan jika ia didapati tidak mencukupi, kerajaan tidak ada masalah untuk menambahnya pada bila-bila masa, demi kemajuan pembangunan industri kreatif negara.

Katanya dalam Belanjawan 2012 beliau turut mengumumkan peruntukan RM6juta peruntukan bantuan pentadbiran kepada semua persatuan berdaftar yang berada di bawah bidang kesenian.

Najib berkata ketika ini hanya RM1 juta daripada jumlah itu yang sudah dibelanjakan, manakala bakinya kini terpulang kepada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan untuk diagihkan.

Terdahulu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia Zed Zaidi dalam ucapannya pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 orang itu membangkitkan isu-isu berkaitan kebajikan para penggiat seni seperti aspek perumahan, Kad Diskaun 1Malaysia dan dana industri kreatif negara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain