suria

Keadaan Tenang Selepas Senarai Calon BN Kelantan Diumum - Mustapa

KOTA BARU: Keadaan begitu tenang tanpa sebarang insiden yang berlaku dalam tempoh 24 jam selepas pengumuman senarai calon Barisan Nasional (BN) Kelantan yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau berasa gembira dengan keadaan itu kerana senarai calon itu telah pun diperbincangkan sejak enam bulan lalu yang disifatkan sebagai satu tempoh agak lama.

"Kita ada buat perjumpaan dengan semua bahagian dari semasa ke semasa, termasuk mereka yang tidak dicalonkan.

"Saya beritahu mereka bahawa rezeki tidak ada, nama orang lain yang 'naik' maka mereka tahu lebih awal dan setia bersama dengan perjuangan parti. Semalam (Selasa) tiada satu insiden pun yang buruk dalam masa 24 jam selepas saya umumkan (senarai calon)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pendidikan Mara 2013 Negeri Kelantan di sini, Rabu.

Mustapa berkata, beliau bersyukur dengan penerimaan ahli Umno walaupun mereka tidak setuju tetapi menyatakan bantahan dengan penuh beradab.

"Mereka berjumpa dengan saya. Mereka mulakan dengan (menyatakan) 'kami faham, tetapi kami hendak sampaikan pandangan kami... si anu si anu ini tak sesuai, kami lebih sesuai...' Jadi, saya gembira ada bantahan tetapi pendekatan dilakukan cukup tertib dan berakhlak.

"Saya ucapkan tahniah, terima kasih kepada semua. Apa yang penting, mereka setia kepada parti dan mahukan kemenangan," katanya.

BN Kelantan pada Selasa mengumumkan seramai 59 calon untuk bertanding pada PRU-13.

Daripada jumlah itu, 45 calon akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 calon Parlimen, melibatkan 25 muka baru.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain