suria

Heng Yakin Atasi Naib Presiden PKR

ALOR SETAR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk Heng Sei Kie yakin berupaya memberi tentangan kepada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Surendran.

Mengakui bakal berentap dengan calon heavy weight pakatan pembangkang, Heng berkata, beliau yakin rakyat di kawasan berkenaan boleh membuat perbandingan mutu perkhidmatan yang diberikan wakil rakyat mereka selepas PRU 2008.

Katanya, rekod perkhidmatan cemerlang BN di Padang Serai sebelum 2008 adalah lebih baik jika dibandingkan dengan pembangkang.

"Sebelum ini penduduk Padang Serai tak pernah diwakili wakil rakyat pembangkang. Tapi setelah lima tahun diperintah pembangkang...rakyat sudah boleh buat perbandingan dengan perkhidmatan BN dahulu.

"Perbandingan oleh rakyat adalah penting kerana ia pada akhirnya akan menunjukkan kekuatan perkhidmatan BN selama ini," katanya ketika ditemui di sini, Rabu.

Pada PRU 2008, Parlimen Padang Serai jatuh ke tangan pembangkang apabila calon PKR, N. Gobalakrishnan menang dengan majoriti besar iaitu sebanyak 11,738 undi.

Gobalakrishnan memperoleh 28,778 undi mengalahkan calon BN, Datuk Boey Chin Gan yang mendapat 17,036 undi.

Bagaimanapun Gobala kemudiannya berbalah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dipecat menjadikan dirinya wakil rakyat Bebas.

Mengulas mengenai isu beliau bukan anak tempatan, Heng berkata, perkara itu bukan satu isu besar kerana ia tiada kaitan dengan memberi perkhidmatan terbaik sekiranya dipilih oleh rakyat.

"Selama ini pun calon MCA di Padang Serai bukan anak tempatan. Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Setidak-tidaknya saya anak Kedah, saya dilahirkan di Kuala Kedah.

"Saya tak ada masalah dari segi bahasa, gaya hidup dan memahami sentimen masyarakat di Kedah," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain