suria

Formula BN Kekalkan Menteri Bertanding Pastikan Kelangsungan Pembangunan - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Formula Barisan Nasional (BN)mengekalkan seramai 20 menteri bagi mempertahan kerusi parlimen masing-masing pada pilihan raya umum 5 Mei, dilihat sebagai kesungguhan BN dalam meneruskan kelangsungan proses pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Penganalisis politik Prof Datuk Zainal Kling berkata walaupun menampilkan ramai muka baharu dan calon muda, calon-calon yang sudah berpengalaman juga dilihat penting untuk meneruskan program pembangunan dan pentadbiran yang baik.

"Mereka yang kekal ini, kita harap akan terus memberi sumbangan besar. Yang paling penting, tugas mereka ditentukan secara umumnya oleh manifesto BN dan perancangan rapi dalam Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan. "Saya fikir itu penunjuk prestasi utama (KPI) mereka untuk dijadikan kenyataan dalam masa lima tahun akan datang," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Rabu.

Beliau berpendapat menteri-menteri itu telah mencapai KPI yang ditetapkan kerajaan, termasuk menteri yang digugurkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

"Mereka digugurkan mungkin kerana faktor usia. Walaupun begitu sumbangan mereka diharap akan diteruskan dalam membantu kerajaan akan datang," katanya.

Pendapatnya disokong Ketua Pusat Pengajian Siswazah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Rahmat Ghazali yang menyifatkan mereka yang tidak terpilih bukanlah bermakna mereka tidak memberi perkhidmatan sepanjang bergelar wakil rakyat.

Menteri-menteri yang bertanding dikepalai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan mempertahan kerusi Parlimen Pekan yang disandangnya sejak 1976 dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh.

Pengerusi Barisan Nasional BN dan Presiden Umno itu akan ditentang Ketua Pemuda PKR Pahang Fariz Musa.

Pada PRU 2008, Najib menang dengan majoriti paling tinggi iaitu 26,464 undi apabila menewaskan calon PKR, Khairul Anuar Ahmad Zainudin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran belum pasti siapa calon lawannya tetapi pada PRU 2008 beliau menewaskan calon PAS Mohamad Rozali Jamil dengan majoriti 12,581 undi. Menteri-menteri lain yang akan mempertahan kerusi mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas), Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (Tambun), Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha (Lumut), Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datoh) dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Kemaman).

Yang lain ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar (Tanjung Karang), Menteri Sumber Manusia yang juga Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam (Segamat), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung (Alor Setar), Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai (Bentong), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong) dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas (Betong).

Turut dicalonkan semula ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera), Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor (Tampin), Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna), Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis), Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Kota Marudu) dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok (Penampang).

Pensyarah Geopolitik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata keputusan mengekalkan barisan menteri itu di kawasan masing-masing membuktikan bahawa mereka berjaya menunjukkan prestasi yang baik di situ.

"Rakyat di kawasan itu sudah kenal dengan penyandang mereka, rakyat sudah sayang dan tahu apa jua kebaikan dan KPI yang dicapai menteri-menteri ini," katanya. PRU kali ini juga menyaksikan dua anggota Kabinet beralih angin ke kawasan dewan undangan negeri (DUN) iaitu Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Parlimen Pasir Gudang ke DUN Permas) dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir (Parlimen Jerlun ke DUN Ayer Hitam). Mereka dikatakan bakal menteri besar di negeri masing-masing.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed merupakan satu-satunya menteri yang akan bertanding dua kerusi - mempertahan kerusi Parlimen Jeli dan bertanding kerusi DUN Ayer Lanas - memberi mesej jelas bahawa beliau calon yang layak dilantik menteri besar jika BN menang di Kelantan dan layak juga berkhidmat di pusat.

Calon menteri pertama kali bertanding ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang juga anggota Dewan Negara dua penggal, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang akan berdepan dengan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di kawasan Parlimen Lembah Pantai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga senator selama dua penggal, bertanding di Jerai dan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Cameron Highlands.

Rahmat berkata strategi BN mengekalkan menteri-menteri ini untuk terus berada di gelanggang perang pilihan raya bergandingan dengan calon-calon berpengalaman lain dan ahli politik muda, dilihat bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya, tetapi lebih kepada persiapan membentuk kerajaan baharu yang mantap. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain