suria

EGM Majlis Peguam: Mahkamah 8 Mei Untuk Keputusan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Mei ini untuk memutuskan saman yang difail seorang peguam terhadap Badan Peguam dan Majlis Peguam berhubung Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak pada Rabu.

Peguam Shaharudin Ali, yang mewakili Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berhujah notis EGM bertarikh 4 Mei dan 11 Mei 2012 yang dikeluarkan defendan adalah batal dan tidak sah mengikut Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Notis EGM adalah prasyarat mesyuarat yang sah sama ada AGM atau EGM. Tidak ada asas untuk menghantar notis EGM dengan cara memuat naik dokumen berkenaan dalam laman sesawang.

"Tidak ada bukti bahawa semua 14,000 anggota mempunyai akses kepada Internetatau mel elektronik untuk mencetus keberkesanan pekeliling yang dikatakan dilaksana Majlis Peguam," katanya.

Sementara itu, peguam Tommy Thomas yang mewakili defendan berkata Mohd Khairul Azam harus menghormati demokrasi dalam Majlis Peguam dan beliau tidak sepatutnya memfailkan saman itu kerana beliau turut menghadiri serta mengundi pada EGM berkenaan.

Mohd Khairul Azam memfailkan tindakan itu pada 16 Mei tahun lepas dan antara lain memohon mahkamah mengisytiharkan notis yang dikeluarkan defendan pada 4 Mei 2012 untuk mengadakan EGM berkenaan adalah tidak sah serta melanggar Akta Profesion Undang-Undang 1976. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain