KUANTAN: Seorang warga emas maut manakala seorang lelaki parah selepas kenderaan yang dipandu masing-masing bertembung di Km 8 Jalan Kuantan-ByPass dekat sini, malam Selasa.Yaacob Mohd Sharif, 60, dari Taman Sri Beserah di sini, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di dada sementara lelaki itu, Mohd Asmera Rashid, 36, dari Jaya Gading di sini, cedera parah. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian jam 8 malam itu, Yaacob yang memandu kereta jenis Proton Waja dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke pelabuhan."Di tempat kejadian, dipercayai mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kanan dan termasuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan van yang dipandu Mohd Asmera."Akibat itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan Mohd Asmera yang parah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan," katanya di sini, Rabu. Sementara itu, katanya seorang pejalan kaki, Mat Sah Jami, 63, dari Kampung Paya Pulai, Maran, terbunuh selepas dilanggar sebuah jip di Km 120 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Temerloh.Katanya mangsa dilanggar ketika sedang melintas jalan."Mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan," katanya. -BERNAMA