suria

BN Pertaruh Calon Lama Tentang Mat Sabu Di Pendang

ALOR SETAR: Bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul akan memberikan tentangan hebat kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

Bakal berentap merampas semula kerusi Parlimen Pendang yang pernah dimenangi itu, Othman berkata jentera BN akan bekerja keras bagi memastikan nasib rakyat Pendang akan terbela di bawah penguasaan BN.

"Apabila kita berhadapan dengan calon heavy weight PAS, ia memberi semangat kepada jentera kita untuk terus berusaha.

"Apabila kita lawan calon yang kuat, sudah pasti jentera BN akan bekerja lebih kuat...dan apabila Mat Sabu masuk (bertanding di Pendang), kita akan beri tentangan yang kuat kepadanya," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman calon BN Kedah di sini, Selasa.

Othman merupakan penyandang tiga penggal bagi kerusi Parlimen Pendang sejak 1986 hingga 1995.

Bagaimanapun PAS merampas kerusi berkenaan pada 1999 melalui Presidennya, Datuk Fadzil Noor tetapi dimenangi semula oleh BN pada pilihan raya kecil 2002 ekoran kematian Fadzil.

Pada PRU 2004 dan 2008, PAS memenangi kawasan itu semula melalui Dr Mohd Hayati Othman.

Mengulas lanjut Othman berkata, walaupun lebih 10 tahun tidak bertanding dalam pilihan raya, beliau bagaimanapun yakin bahawa pengundi Pendang akan kembali memberi kepercayaan kepadanya.

"Sejak tempoh itu walaupun tidak menjadi wakil rakyat, saya tetap berada bersama rakyat Pendang, selalu turun bertemu rakyat," katanya yang juga anak tempatan dari Kampung Paya Kecut dalam Parlimen Pendang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain