suria

Subramaniam Selar Ceramah Jui Meng Kecam Kerajaan

SEGAMAT: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menyelar tindakan Datuk Chua Jui Meng yang memburuk-burukkan kerajaan dalam ceramahnya sedangkan ketika berada dalam parti atau kerajaan selama 22 tahun, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu tidak pernah menyuarakan perkara-perkara dibangkitkan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, Jui Meng yang akan bertanding di Parlimen Segamat sebenarnya tidak mempunyai asas serta prinsip perjuangan dan segala tindak tanduknya sekarang ini boleh dipersoalkan.

Subramaniam yang juga penyandang kerusi Parlimen Segamat berkata, Jui Meng mempunyai banyak masa untuk menegur kerajaan semasa memegang beberapa jawatan tertinggi dalam Kabinet terutama semasa menjadi Menteri Kesihatan yang paling lama sekali berkhidmat.

"Semasa beliau jadi menteri, bila tidak setuju (dengan satu-satu perkara) dalam Barisan Nasional (BN) boleh diberitahu (untuk diperbetulkan) dan kalau tidak setuju masa itu boleh keluar daripada jemaah menteri. Ini baharu dinamakan prinsip.

"Jangan bila sudah kalah bertanding sebagai Presiden MCA sebanyak dua kali dan tidak ada tempat atau peluang lagi, lepas tu masuk PKR, baharu nak bercakap soal prinsip? Baharu nak cakap kerajaan tak betul? Ini tak betul itu tak betul?

"Tetapi kamu berada dalam sistem (kerajaan) untuk lebih 20 tahun dan ada masa untuk perbetulkan sistem, kenapa tidak buat," katanya pada sidang akhbar selepas melawat mangsa ribut di pekan Jementah, dekat sini, pada Isnin.

Subramaniam berkata, jika Jui Meng adalah pejuang politik yang dilahirkan dari akar umbi DAP atau PKR, perkara-perkara yang disuarakan tidak akan dipersoalkan tetapi beliau adalah adalah antara pemimpin utama semasa berada dalam kerajaan.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat terutama di Segamat supaya sedar dan tidak tertipu dengan perjuangan palsu Jui Meng yang hanya untuk kepentingan dirinya sahaja.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi kesedaran kepada pengundi-pengundi terutama orang Cina supaya tidak salah memilih pemimpin kerana ia hanya akan memberi kesan tidak baik terhadap pembangunan di daerah ini.

Jelasnya, projek-projek mega di Segamat seperti pembinaan Jalan Segamat-Tangkak dengan kos RM800 juta yang merangkumi lima fasa dan projek tebatan banjir yang menelan perbelanjaan RM200 juta bagi fasa awalnya akan terhenti jika Jui Meng dipilih.

Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Segamat, Datuk Dr. Lee Hon Tee berkata, pihaknya sudah bersiap sedia 200 peratus bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti walau siapa calonnya sama ada Jui Meng atau Penasihat DAP, Lim Kit Siang sekali pun.

Katanya yang merupakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jementah, pihaknya akan mempertahankan Segamat sebagai salah satu kubu BN di negeri ini dan tidak ada sebab pengundi-pengundi di sini untuk beralih menyokong pembangkang.

Artikel Lain