suria

PRU-13: Polis Tumpu Semua Kawasan di Muar, Seru Parti Kempen Secara Profesional

MUAR: Polis akan memberi tumpuan di semua kawasan sepanjang tempoh pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) bagi memastikan proses pengundian dapat dijalankan secara aman tanpa sebarang kekecohan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Sahadan Jaafar menasihatkan agar penyokong-penyokong parti politik tidak menimbulkan perkara yang boleh menggugat ketenteraman awam dan tidak memprovokasi polis untuk mengelak daripada dikenakan tindakan.

"Polis Johor sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada pilihan raya umum kali ini. Kita nak pastikan keselamatan terjamin, pengundi keluar mengundi tanpa rasa takut untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Kita tidak mengklasifikasi tempat-tempat panas sebaliknya menganggap semua kawasan perlu diberi perhatian dan mempunyai sebarang kemungkinan berlaku perkara tidak diingini," katanya kepada mStar Online, dekat sini, Selasa.

Sahadan berkata pihaknya mempunyai anggota yang cukup untuk digerakkan memantau perjalanan pilihan raya umum ke-13 kali ini.

Beliau juga mengingatkan anggota parti yang bakal bertanding PRU-13 agar berkempen secara profesional dan berhemah serta tidak sesekali melanggar Akta Perhimpinan Aman untuk mengelak daripada didakwa di Mahkamah.

"Pemimpin setiap parti yang akan bertanding perlu memastikan tidak akan berlaku kekacauan yang ditimbulkan oleh penyokong-penyokong mereka. Bagi penyokong pula perlu tahu mengawal diri agar tidak memudaratkan orang lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini tiada sebarang laporan tentang kekecohan berlaku berkaitan mana-mana parti politik.

Artikel Lain