suria

PRU-13: Kayveas Diumum Bertanding

IPOH: Berlaku kejutan apabila Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), parti komponen Barisan Nasional (BN) Datuk Seri M. Kayveas yang mengesahkan tidak bertanding diumumkan bertanding pada pilihan raya umum kali ini.

Keputusan itu diketahui sebaik sahaja Pengerusi Barisan Nasional Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengumumkan senarai calon bertanding di Perak, Selasa.

Presiden parti komponen itu akan bertanding di kerusi DUN Pasir Berdamar, yang terletak di Parlimen Teluk Intan.

"Kita telah mengadakan satu perbincangan khusus dan akhirnya pihak pimpinan membuat keputusan untuk meminta Presiden Parti Datuk M. Kayveas sendiri bertanding.

"Ini bukan kehendak dan permintaan beliau tetapi atas faktor yang tidak dapat dielakkan maka pihak kepimpinan parti membuat keputusan dan Datuk Kaveas terima tanggungjawab ini untuk membantu BN di Perak dan kita ucapkan terima kasih atas pengorbanannya," katanya, ketika mengumumkan senarai calon BN bertanding di Perak, dekat sini, Selasa.

Pada Isnin, Kayveas mengesahkan tidak bertanding bersama tiga rakan Presiden parti komponen yang lain iaitu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (MCA), Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Gerakan) dan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui (Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Sebelum pengumuman dibuat, Kayveas berkata kerusi DUN Pasir Berdamar akan diwakili Bendahari PPP Perak Kerk Guan Chuan.

Sementara itu Kayveas yang ditemui pemberita selepas diumumkan bertanding berkata beliau hanya menerima panggilan telefon untuk hadir ke majlis pengumuman di Bangunan Umno negeri kira-kira pukul 7 pagi ini.

Katanya, walaupun hanya mengetahui perkara ini pada saat-saat akhir beliau tidak menghadapi masalah untuk bertanding di kawasan tersebut.

"Kita banyak buat kerja di Teluk Intan dan kita berkerja keras dari hari pertama lagi," katanya.

Beliau berkata banyak kriteria yang diambil kira untuk pimpinan memutuskan calon untuk bertanding di sesuatu kerusi untuk memastikan kemenangan.

Pada PRU-11, Kayveas menang di Parlimen Taiping dengan kelebihan 2,172 undi tetapi tewas kepada DAP pada PRU-12.

Artikel Lain