suria

Polis Rampas Dadah, Harta Benda Bernilai Lebih RM 1 Juta

MUAR: Polis menahan seorang kontraktor serta merampas heroin dan harta bendanya yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Salleh, di sini, Jumaat lalu.

Melalui serbuan kira-kira pukul 12 tengahari itu, 15 anggota polis dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Muar yang menyerbu rumah tersebut menahan seorang lelaki berusia 49 tahun dipercayai mengedar dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, pihaknya merampas heroin seberat 21 kilogram bernilai RM636,690 selain kereta Toyota Camry berharga RM120,000 dan kereta Honda Civic berharga lebih RM100,000.

"Selain itu kita juga merampas pelagai jenis barang kemas bernilai RM58,586. Kita menemui beberapa peralatan untuk membungkus dadah di rumah itu antaranya empat kuali, dua mesin pembungkus, dua timbang, tujuh botol plastik dan serbuk pewarna.

"Rumah tersebut dijadikan tempat untuk pembukusan dengan dicampur dengan pelbagai warna sebelum dihantar kepada pasaran yang boleh dibekalkan untuk 106,000 penagih," katanya pada sidang akhbar di IPPD Muar, di sini, pada Isnin.

Katanya, suspek tidak tinggal di rumah tersebut sebaliknya menjadikan kediaman itu sebagai tempat operasi dipercayai sudah enam bulan menjalakan aktiviti berkenaan selain menyewa di sebuah rumah lain yang hanya beberapa blok dari kawasan itu.

Beliau memberitahu, suspek yang juga positif syabu berasal dari Kluang sudah berkeluarga tetapi isterinya yang berusia 22 tahun dan seorang anaknya tidak tinggal di rumah tersebut.

Sahadan berkata, kontraktor itu direman sehingga Jumaat ini dan siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah di bawah Seksyen 29B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12 (2) akta yang sama.

"Kita akan rampas dan sita dua lagi rumah yang dimiliki suspek dalam masa terdekat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B akta yang sama dan Seksyen 32 (2) ADB (PH) 1988.

"Kita masih menyiasat sama ada terdapat individu lain terlibat," ujarnya.

Artikel Lain