suria

Pengorbanan MCA Di Gelang Patah Demi Kemenangan BN - Yen Yen

GEORGE TOWN: Pengerusi MCA Negeri Datuk Seri Dr Ng Yen Yen menyifatkan penyerahan kerusi parlimen Gelang Patah di Johor yang menjadi kubu kuat parti itu kepada Umno merupakan pengorbanan yang perlu dilakukan demi memastikan BN kekal menang di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata pengunduran MCA itu juga merupakan strategi yang diatur barisan kepimpinan BN untuk berhadapan dengan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang telah memilih bertanding merebut kerusi itu kali ini.

"MCA berundur bukan disebabkan masalah dalam komponen parti tetapi pengorbanan ini dilakukan demi memastikan kemenangan BN, PRU kali ini sangat penting dan kita mahu pastikan BN menang kerana keutamaan ialah BN," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Pada PRU-12, calon BN Tan Ah Eng mengekalkan kerusi Parlimen Gelang Patah dengan majoriti undi 8,851.

Pada pilihan raya umum kali ini, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dinamakan sebagai calon bertanding merebut kerusi Parlimen itu dan akan ditentang oleh penasihat DAP Lim Kit Siang.

Mengenai pemilihan calon MCA di Pulau Pinang, Dr Ng yang juga Naib Presiden MCA berkata daripada 10 calon yang dipilih untuk PRU13, MCA Pulau Pinang menampilkan empat muka baharu untuk bertanding di kerusi Parlimen, manakala enam lagi kekal bertanding di kerusi DUN.

"Pemimpin kanan negeri akan membantu calon-calon baru ini berkempen untuk menang, dan berilah kepercayaan semula kepada kami untuk memerintah," katanya.

Dr Ng yang juga Menteri Pelancongan menjelaskan pengundurannya daripada bertanding pada PRU kali ini adalah sebahagian daripada prinsip parti itu.

"Ini merupakan satu transformasi dalam MCA, senior tidak bertanding tetapi pada masa yang sama tetap memastikan calon MCA menang," katanya yang telah melibatkan diri dalam politik selama 40 tahun serta tiga penggal menjadi anggota Parlimen Raub, Pahang. - BERNAMA

Artikel Lain