suria

Muhyiddin Harap Jason Teoh Hormati Keputusan Pucuk Pimpinan BN

JOHOR BARU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Ketua MCA Bahagian Gelang Patah Jason Teoh akan menghormati keputusan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) yang meletakkan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman sebagai calon kawasan Parlimen Gelang Patah menentang Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun bercakap dengan Teoh menerusi telefon, memberikan pandangannya tentang keputusan di sebalik pencalonan Abdul Ghani di Gelang Patah.

"Saya berharap apabila sudah dijelaskan, Jason akan berbincang bersama dan MCA akan maklumkan semua perkara dan harap semua pihak membantu. Mungkin kali ini beliau tidak bertanding, mungkin (akan bertanding) pada masa depan."

"Saya tidak fikir beliau akan kecewa," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan khas dengan guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Johor di SJKC Foon Yew di sini, Selasa.

Majlis penyerahan watikah calon-calon BN Johor pada Selasa mengesahkan bahawa Abdul Ghani akan bertanding di Parlimen Gelang Patah menentang Penasihat DAP di dalam pertarungan "Battle of Giants" pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Teoh sebelum ini disebut-sebut sebagai calon pilihan MCA bagi kerusi Parlimen Gelang Patah, sebelum pakatan pembangkang (PR) meletakkan Kit Siang di kerusi terbabit.

Pencalonan Penasihat DAP di Gelang Patah itu menyebabkan perubahan strategi di pihak BN yang menimbangkan kemungkinan untuk turut meletakkan seorang "heavyweight" bagi menumbangkan anggota veteran DAP berkenaan di kerusi Parlimen itu.

Muhyiddin berharap, Teoh akan turut serta membantu Abdul Ghani di Gelang Patah bagi memastikan kemenangan BN.

Ditanya kemungkinan ketidakpuasan hati penyokong-penyokong Teoh terhadap keputusan tidak mencalonkannya di Gelang Patah itu akan menjejaskan kempen BN, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau berkeyakinan ia tidak akan berlaku.

"Saya berharap ia tidak terjejas. Saya yakin ia akan selesai dalam tempoh 24 jam. Baik juga awal-awal lagi ada reaksi ini kerana kita boleh mengendalikannya," katanya.

Muhyiddin berkata, BN mempunyai strategi tertentu untuk menumbangkan Kit Siang di Gelang Patah dan mahu semua parti komponen memainkan peranan mereka sebagai satu pasukan di kerusi Parlimen berkenaan.

"Kita kena mengorak strategi yang terperinci untuk menang," kata beliau sambil menambah, Abdul Ghani amat memahami kawasan Gelang Patah, masyarakatnya serta pembangunan pesat di kawasan itu.

Beliau juga meminta pengundi Gelang Patah mengenali dengan lebih dekat Kit Siang serta budaya politik DAP yang 'memecahbelah, rasis, cauvinis' yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat Johor.

Budaya masyarakat Johor yang mengamalkan kerjasama dan saling hormat menghormati sesama kaum, tanpa ada perasaan cemburu di antara Melayu, Cina dan India, akan terjejas jika mereka menerima budaya politik DAP, katanya.

"Mereka perlu membuat penilaian yang betul, Melayu pun kena fahami siapa Lim Kit Siang dan sama ada perjuangan beliau itu menepati cita rasa Melayu," kata Muhyiddin. - BERNAMA

Artikel Lain