suria

Kembalikan Selangor Kepada BN Untuk Selesaikan Masalah Tanah Penduduk Sungai Buaya

BUKIT BERUNTUNG: (Bernama) Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata Kerajaan BN akan membantu bekas peneroka Felda Sungai Buaya menyelesaikan masalah tanah mereka yang dirampas kerajaan negeri pakatan pembangkang, jika parti gabungan itu kembali berkuasa di negeri itu. Beliau menyifatkan tindakan Kerajaan Selangor sekarang sebagai kejam terhadap para penduduk terbabit.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian selepas menyampaikan saguhati RM5,000 tiap seorang kepada 363 bekas peneroka Felda Sungai Buaya di kampung itu, dekat sini pada Isnin.

Saguhati berjumlah RM1.82 juta itu disumbangkan oleh Felda sebagai mengenang sumbangan bekas peneroka itu membangunkan kawasan tanah rancangan Felda Sungai Buaya.

Tanah mereka yang semuanya berkeluasan 419.57 hektar sepatutnya dibangunkan sebuah syarikat pemaju hartanah pada 1996, namun projek itu terbengkalai pada 1998 disebabkan kemelesetan ekonomi.

Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 2010, BN telah cuba membantu menyelesaikan masalah itu apabila sebuah syarikat pemaju sanggup meneruskan projek perumahan di situ.

Pemaju itu, katanya sanggup membayar RM160,000 bagi setiap ekar tanah bekas peneroka yang hendak dibangunkan dan setiap seorang telah dibayar wang pendahuluan RM50,000.

Malangnya, pemaju itu dimaklumkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor bahawa tanah berkenaan telah dirampas oleh kerajaan negeri kerana pemaju sebelum itu didakwa tidak membayar cukai tanah selama sembilan tahun berjumlah RM7 juta, katanya.

Seorang bekas peneroka Felda Sungai Buaya Mat Som Moh, 76, yang ditemui Bernama berkata beliau sangat berharap agar kerajaan BN akan dapat mengembalikan tanah miliknya itu.

Beliau juga berterima kasih kepada Felda yang menyumbangkan saguhati kepada penduduk kampung itu yang telah menetap di sana selama lebih 40 tahun. -BERNAMA

Artikel Lain