suria

Jangan Tampal Poster & Pasang Bendera di Premis Polis

KUALA LUMPUR: Polis mengingatkan agar pekerja parti politik tidak menampal poster atau memasang bendera di premis polis.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata tindakan itu seolah-olah mencerminkan pihak polis memihak atau menyokong mana-mana parti politik yang akan bertanding.

"Pihak polis adalah bersifat neutral dan tidak mahu terbabit atau tidak mahu digambarkan sebagai terbabit disebabkan tindakan sedemikian," katanya pada taklimat pilihan raya umum ke-13 kepada media di Bukit Aman di sini, Selasa. Beliau berkata demikian ekoran laporan menampal poster di premis polis di Perlis semalam.

Ramli berkata sekiranya ia didapati berlaku, polis akan menanggalkan serta merta poster atau bendera tersebut.

"Jangan nanti bila kita tanggalkan bendera atau poster, ada pula pihak yang tampil buat laporan polis dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata setakat semalam, sebanyak 88 laporan dibuat di seluruh negara termasuk tindakan menurunkan bendera atau poster, yang menjadikan laporan terkumpul sejak Parlimen dibubarkan pada 3 April lepas ialah 631 kes. -BERNAMA

Artikel Lain