suria

Jangan Sombong, Genggam Erat Tangan Apabila Bersalaman - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: "Jangan sombong, selalu senyum, genggam erat tangan apabila bersalaman, pandang mata pengundi ketika bersalaman dan dengar rintihan mereka betul-betul."

Demikian pesanan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jentera Pilihan Raya BN kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) dalam memenangi hati pengundi ketika berkempen pada pilihan raya umum ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan ketika mengumumkan senarai calon wilayah itu yakin BN akan memperoleh lebih banyak kerusi di 13 kawasan Wilayah Persekutuan kerana 800,00 pengundi di kawasan itu amat arif terhadap pelaksanaan program kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Setelah mengharungi cabaran pada pilihan raya umum 2008 dengan BN hanya memenangi tiga kerusi di Wilayah Persekutuan, beliau yakin transformasi yang telah dilaksanakan kerajaan dalam tempoh empat tahun kini mampu mengubah persepsi pengundi.

Kerajaan pimpinan BN telah melaksanakan pelbagai inisiatif melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat ke arah negara berpendapatan tinggi termasuk melakukan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Tranformasi Ekonomi (ETP). "Kita yakin orang di Wilayah Persekutuan orang yang bermaklumat, tahu apa yang berlaku di dalam kerajaan dan parti.

"Saya percaya mereka melihat apa dilakukan kerajaan dan impak usaha itu kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan 13 calon BN Wilayah Persekutuan, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

BN menguasai Putrajaya, Setiawangsa dan Labuan daripada 13 kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan pada pilihan raya umum 2008.

BN menampilkan 12 muka baharu pada pilihan raya umum ini dengan hanya mengekalkan bekas anggota Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ditanya mengenai keputusan BN meletak 12 muka baharu, Muhyiddin berkata mereka memberi nafas baharu kepada BN kerana jangkaan pengundi kini sudah berubah. -BERNAMA

Artikel Lain