suria

Isu Calon MB Kelantan Tidak Berbangkit, Semua Layak - Mustapa

KOTA BARU: Isu calon Menteri Besar tidak berbangkit kerana kesemua calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah berkelayakan, kata Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Kita ada tokoh agama, guru, veteran... bukan saya seorang sahaja yang layak. Semua 45 (calon DUN) layak.

"Rakyat yang menentukannya, bukan kita (BN) yang tentukan. Kedua adalah mendapat perkenan Tuanku (Sultan Kelantan) maka isu Menteri Besar tidak berbangkit kerana ramai pemimpin Umno yang kita bariskan untuk bertanding, layak memimpin Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan calon-calon BN di Kelantan yang akan bertanding pada PRU-13 di sini, Selasa.

Timbul spekulasi bahawa Mustapa akan diangkat sebagai MB sekiranya BN menang di Kelantan pada PRU-13.

"Bukan satu, bukan dua, bukan tiga, mungkin 10 yang layak maka isu siapa calon Menteri Besar tidak berbangkit. Kita serahkan kepada rakyat, dan juga atas budi bicara Tuanku," tegasnya lagi.

Artikel Lain