suria

Bertanding Di Bukit Tengah Strategi BN - Teng

GEORGE TOWN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow pada Selasa berkata tindakan beliau berpindah kawasan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) ini adalah sebagai satu strategi parti.

Beliau berkata tindakan ke kawasan baharu di Seberang Perai itu bukanlah disebabkan beliau takut untuk bertanding di sebelah pulau seperti yang didakwa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

"Tidak timbul isu takut bertanding di kawasan pulau, tetapi ia adalah strategi yang diatur kepimpinan parti, beliau (Lim) juga boleh bertanding di tanah besar kalau mahu, adakah beliau takut untuk bertanding di tanah besar.

"Apabila mereka (DAP) buat pertukaran kerusi mereka sebut sebagai strategi tetapi apabila BN buat seperti itu mereka kata BN takut.

"Mereka harus putuskan sama ada tindakan memindahkan Penasihat DAP Lim Kit Siang ke kerusi Parlimen Gelang Patah itu sebagai strategi atau takut untuk bertanding di Ipoh Timur," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN di sini, Selasa.

Pada Isnin, Lim dalam ucapannya berkata Teng takut untuk bertanding merebut kerusi DUN di kawasan pulau, oleh sebab itu Teng memilih bertanding di kerusi DUN Bukit Tengah dalam kawasan parlimen Batu Kawan.

Sebelum ini Teng dan Lim masing-masing mencabar untuk bertanding di kerusi DUN yang sama tetapi Lim memberi syarat kedua-dua mereka harus bertanding di DUN Padang Kota.

Teng berkata BN yakin dapat menumbangkan kerajaan negeri pimpinan DAP pada PRU-13 ini setelah membariskan sembilan muka baharu daripada 13 kerusi Parlimen dan 24 muka baharu daripada keseluruhan 40 kerusi DUN. - BERNAMA

Artikel Lain