suria

Ali Rustam Tanding Parlimen Bukit Katil, Idris Di DUN Sungai Udang

MELAKA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka yang juga Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertukar kerusi ke Parlimen Bukit Katil pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Beliau sebelum ini yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru dijangka menentang Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin di kerusi parlimen berkenaan.

Pertukaran kerusi itu menyaksikan Melaka bakal diterajui Ketua Menteri yang baharu sekiranya BN terus mendapat mandat rakyat untuk kekal memerintah negeri ini.

Mohd Ali, 64, memegang jawatan Ketua Menteri selama tiga penggal sejak 2 Dis 1999.

Calon yang disebut mengisi jawatan berkenaan ialah Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Idris Haron yang bertukar kerusi ke DU NSungai Udang dari Parlimen Tangga Batu.

Mohd Ali ketika mengumumkan senarai calon di kediaman Ketua Menteri Melaka di Seri Bendahara di sini, Selasa berkata seramai 15 muka baharu akan bertanding di tiga kerusi Parlimen dan 12 DUN.

Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop yang juga penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah selama empat penggal merupakan antara sembilan penyandang digugurkan daripada senarai calon BN Melaka.

Bekas Menteri Sumber Manusia Tan Sri Dr Fong Chan Onn turut digugurkan dari kerusi Parlimen Alor Gajah manakala tiga anggota exco kerajaan negeri juga digugurkan iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Datuk R. Perumal (DUN Asahan); Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Datuk Yaakub Md Amin (DUN Sungai Udang) dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Pekan Kecil, Pemulihan Projek dan NGO Datuk Seet Har Cheow (DUN Klebang).

Turut digugurkan penyandang kerusi Parlimen Bukit Katil Datuk Md Sirat Abu; Datuk Tahir Hassan (DUN Paya Rumput); Yazid Khamis (DUN Rim) dan Chua Kheng Hua (DUN Bemban).

Tiga tokoh wanita dipilih bertanding termasuk masing-masing penyandang DUN Rembia dan Taboh Naning Datuk Norpipah Abdul dan Datuk Latipah Omar dan seorang muka baru, Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Puteri Umno Melaka dipilih bagi bertanding di kerusi Parlimen Masjid Tanah menggantikan Abu Seman.

Muka baru lain bagi Umno ialah Sulaiman Md Ali (DUN Lendu); Sazali Md Din (DUN Paya Rumput); Karim Yaacob (DUN Bukit Baru) dan Zaidi Atan (DUN Serkam).

Sementara itu, bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) Datuk Prof Madya Dr Abu Bakar Mohamad Diah dipilih bertanding mewakili Umno di Parlimen Tangga Batu menggantikan Idris.

Calon muka baru bagi MCA terdiri daripada Lim Ban Hong (DUN Klebang); Yong Fun Juan (DUN Ayer Keroh); Dr Yee Kok Wah (Parlimen Kota Melaka); Lim Eng Teck (DUN Kesidang); Ronald Gan (Banda Hilir) dan Datuk Ng Choon Koon (DUN Bemban) sementara bagi Gerakan, Chua Lian Chye (DUN Bachang). Sementara itu, calon MCA Datuk Koh Nai Kwong yang pernah tewas di DUN Kesidang pada PRU-12 kepada Goh Leong San (DAP) dicalon kembali bagi bertanding di Parlimen Alor Gajah.

Bagi MIC pula Timbalan Pengerusi MIC Melaka M.S Mahadevan dipilih bertanding di DUN Gadek manakala Pengerusi PPP Melaka Datuk Chiw Tiang Chai mewakili BN di DUN Kota Laksamana.

Hampir keseluruhan muka baru berkenaan terdiri daripada golongan belia berusia 30an.

Bagi PRU-13, Umno Melaka akan bertanding di 18 DUN dan empat kerusi Parlimen manakala MCA bertanding di tujuh DUN dan dua kerusi Parlimen serta masing-masing satu DUN bagi Gerakan, PPP dan MIC. - BERNAMA

Artikel Lain