KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga orang termasuk seorang wanita dan merampas sepucuk pistol, dua buah kereta dan beberapa
bungkusan dadah di Hotel Richbaliz, Selayang Point, Selayang pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata ketiga-tiga suspek yang berumur antara 34 dan 37 tahun dipercayai menyamun wang tunai kira-kira RM1,000 dari sebuah pusat snuker di Kompleks Selayang Capital yang terletak kira-kira 100 meter daripada hotel itu pada pukul 8.15 pagi tadi.
Beliau berkata polis yang bertindak atas maklumat kemudiannya menyerbu hotel
itu pada pukul 9 pagi dan mendapati ketiga-tiga suspek sedang berada dalam
keadaan khayal di dalam sebuah bilik.
"Pemeriksaan forensik yang dilakukan di bilik hotel itu turut menemui
sepucuk revolver .38 serta beberapa paket ketamin dan ekstasi," katanya
kepada Bernama menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Abdul Rahim berkata polis turut menemui wang tunai yang disamun itu serta
dua buah kereta yang dipercayai telah digunakan suspek.
Beliau berkata semasa menyamun pusat snuker itu, dua daripada suspek dilaporkan telah mengacukan revolver berkenaan ke arah pemilik pusat tersebut.
Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata api.- BERNAMA