suria

Selepas 5 Hari Menjelajah Jui Meng Yakin Diterima Masyarakat Segamat

Chua Jui Meng
Chua Jui Meng
Chua Jui Meng

SEGAMAT: Datuk Chua Jui Meng yakin mampu menarik undi masyarakat di kawasan Parlimen Segamat yang bakal ditandinginya nanti.

Pengerusi PKR Johor itu berkata, penerimaan masyarakat daripada kaum Melayu, Cina dan India di daerah itu menunjukkan tanda-tanda positif kepadanya untuk memenangi kerusi tersebut.

"Saya sudah jelajah hampir lima hari di sini dan banyak belajar tentang Segamat. Saya masuk di kawasan masyarakat Melayu, Cina dan India di daerah ini.

"Terima kasih kerana menerima dan mengalu-alukan kedatangan saya," katanya dalam satu ceramah, di sini pada malam Ahad.

Chua berkata, beliau akan cuba membawa kemajuan ke daerah Segamat seperti mana yang dilakukan di Bakri ketika beliau menjadi ahli parlimen tersebut selama lima penggal.

"Kini Segamat rumah baru saya di Johor, tempat ini terpencil dan perlu banyak kemajuan kerana daerah ini terpisah dengan daerah lain di sebabkan tiada laluan lebuh raya untuk ke sini.

"Kalau diberi kepercayaan pada PRU-13 ini kita akan sama-sama bangunkan daerah ini," katanya lagi.

Sementara itu, Chua yakin manifesto negeri Johor yang baru dilancarkan pada Sabtu lalu mampu memberi perubahan lebih baik kepada rakyat Johor.

Artikel Lain