suria

Rakyat Pulau Pinang Berhak Persoal Cadangan Projek Terowong Dasar Laut

GEORGE TOWN: Rakyat Pulau Pinang berhak mempersoalkan jika terdapat sebarang justifikasi mengenai cadangan pembinaan projek terowong dasar laut Gurney Drive-Bagan Ajam sepanjang 6.5km, kata seorang perancang bandar dari Australia.

"Mengapa anda memerlukannya? Apa kesan dan siapa yang akan terjejas," soal Dr Peter R.Jensen yang tiba di sini pada Ahad untuk berucap pada satu forum yang dianjurkan oleh Citizen Awareness Chant Group (Chant) pada Selasa.

Dr Jensen, 72, yang dilahirkan di Johor dan juga merupakan Pengarah Urusan Hyparcons Pty Ltd iaitu sebuah firm perunding profesional di Australia akan memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan pembangunan semula dan warisan pada forum tersebut.

"Saya juga akan mengkaji Pelan Induk Sistem Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), " katanya.

Forum bertema 'Is the undersea tunnel environmentally sustainable and Gurney Drive enclave livable? akan diadakan di Hotel E&O di sini pada pukul 8 malam.

Hyparcons menyediakan beberapa perkhidmatan terutamanya melibatkan pertikaian ke atas pembangunan, perancangan penggunaan tanah, penilaian tapak dan peluang, kawalan penggunaan tanah dan analisis.

Dr Jensen berkata, dia hanya mendapat tahu mengenai cadangan pembinaan terowong dasar laut itu kira-kira 10 hari lalu.

"Saya sedang mengikuti perkembangan Pulau Pinang sejak kunjungan kali terakhir saya ke sini 40 tahun lalu," katanya.

Beliau yang kini terlibat dalam reka bentuk dan seni bina bandar di Australia baru saja selesai menghasilkan sebuah buku yang dijadualkan akan diterbitkan pada Jun ini.

Pembinaan terowong dasar laut itu merupakan satu daripada empat projek infrastruktur yang diumumkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Artikel Lain