suria

PRU-13: Pengundi Pos Luar Negara Undi Pada 28 April

PUTRAJAYA: Semua warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan Pengundi Tidak Hadir (PTH) yang telah mendaftar menjadi pengundi pos akan mengundi di Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara pada 28 April ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata SPR menetapkan untuk membuat penyerahan dan penerimaan balik Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi pos 28 April (Ahad) pada 9 pagi hingga 8 malam di London, United Kingdom dan Melbourne, Australia.

Katanya manakala bagi Pejabat Perwakilan Malaysia yang lain, pada tarikh yang sama tetapi tempohnya lebih singkat iaitu 9 pagi hingga 6 petang.

"Pejabat Perwakilan Malaysia di London, United Kingdom dan Melbourne, Australia dilanjutkan selama 2 jam berbanding Pejabat Perwakilan yang lain disebabkan ia mempunyai jumlah pengundi pos melebihi 1,000 orang," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Kamaruddin berkata semua warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan PTH perlu hadir ke Pejabat Perwakilan Malaysia dengan menunjukkan kad pengenalan atau pasport antarabangsa kepada petugas SPR di Pejabat Perwakilan yang berkenaan.

Beliau menegaskan Sampul Keutamaan tidak akan diserahkan kepada mereka yang tidak membawa dokumen pengenalan diri dan wakil atau saudara juga tidak dibenarkan mengambil Sampul Keutamaan bagi pihak individu yang lain.

Beliau berkata kertas undi yang telah ditanda perlu dimasukkan ke dalam Karung Khas SPR yang disediakan di Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara.

"Sampul yang mengandungi kertas undi pos di dalam Karung Khas SPR akan dibawa pulang ke Malaysia pada hari yang sama untuk diserahkan kepada Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya masing-masing," katanya.

Namun demikian, Kamaruddin berkata mereka yang mengambil Sampul Keutamaan selepas hari penyerahan atau mengembalikannya selepas tarikh dan masa yang ditetapkan, mereka dikehendaki menguruskan sendiri urusan penghantaran balik ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya yang berkaitan dan dengan perbelanjaan sendiri.

Sehingga kini, beliau berkata semua Borang 1B telah dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya masing-masing (Parlimen) untuk tujuan kelulusan Pegawai Pengurus.

"Warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dijangka boleh membuat semakan mengenai keputusan permohonan mengundi melalui pos dan maklumat yang berkaitan dengan tarikh, masa dan alamat Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara di laman web SPR di www.spr.gov.my bermula 19 April 2013," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain