suria

Projek Jambatan Berkembar Sultan Yahya Petra Bukti Kerajaan Pusat Tidak Pinggir Kelantan

KOTA BHARU: Projek pembinaan Jambatan Berkembar Sultan Yahya Petra yang menghubungkan laluan Pasir Pekan, Tumpat ke Kota Bharu membabitkan perbelanjaan RM184.8 juta oleh Kerajaan Pusat membuktikan Kelantan tidak pernah dipinggirkan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, lorong kedua projek itu secara rasminya dibuka pada Ahad kepada pengguna jalan raya bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

“Ternyata projek sepanjang 1.6 kilometer ini mempercepatkan perjalanan dan pengguna jalan raya dapat sampai ke destinasi yang dituju dengan mudah.

“Kerajaan Pusat tidak pernah meminggirkan negeri Kelantan walaupun di bawah pemerintahan Kerajaan Pas, ternyata projek ini merupakan petanda bahawa kita amat prihatin dengan pembangunan dan kemajuan di negeri ini untuk kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan laluan kedua jambatan terbabit di sini.

Mustapa berkata, projek berkenaan yang kini dibuka kepada laluan dua lorong akan ditambah dengan empat lorong yang dijangka bakal siap sepenuhnya pada akhir Julai ini.

“Sebelum ini laluan pertama dibuka kapada orang ramai pada 5 Februari lalu dan kini laluan kedua sudah dibuka hari ini (Ahad) dan empat lorong lagi bakal dibuka tidak lama lagi.

“Ini merupakan projek terbesar di Kelantan dan rakyat harus sedar tentang keprihatinan Kerajaan Pusat yang ingin membantu rakyat dan memajukan negeri ini dan ternyata tuduhan yang dilemparkan kepada kita oleh pembangkang yang mengatakan Umno sebagai pemerintah zalim tidak berasas dan terbukti kita menunaikan janji untuk rakyat,” katanya.

Artikel Lain