suria

Pembangkang Tangguh Umum Senarai Penuh Calon Di Perak

IPOH: Pakatan pembangkang menangguhkan pengumuman senarai penuh calon bertanding di Perak yang dijangka dapat dilakukan pada Isnin.

Setiausaha Pakatan Rakyat (PR) Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik berkata penangguhan itu disebabkan terdapat sebilangan kecil urusan pembahagian kerusi yang belum selesai.

"Terdapat parti yang belum selesai dengan urusan pembahagian kerusi. Tapi bilangannya tak banyak, hanya tinggal satu-dua sahaja," katanya yang ditemui selepas Majlis Pelancaran Manifesto PR peringkat negeri Perak, dekat sini, Isnin.

Hadir sama Pengerusi PR Perak Datuk Nizar Jamaluddin, Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Khoo Ham, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak Dr Mohd Nor Manuty dan Pesuruhjaya PAS Perak Abu Bakar Hussain.

Menurut Khairuddin, PR sepakat untuk mengumumkan calonnya secara serentak dan dijangka akan berbuat demikian pada 18 April ini.

Pengumuman tersebut melibatkan semua calon PAS, PKR dan DAP yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen negeri yang nama-nama mereka belum diumumkan sebelum ini.

"Kami ambil keputusan untuk umumkannya serentak. Walaupun PAS sudah lama selesai, tapi perlu tunggu PKR dan DAP.

"Saya difahamkan PKR pun sudah selesai, mungkin (tunggu) DAP," katanya.

Sebelum ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan calon Dr Mohd Nor Manuty (Parlimen Bagai Serai) , Dr Meor Ahmad Isharra Ishak (Padang Rengas), Dr Lee Boon Chai (Gopeng), Laksamana (B) Imran Hamid (Lumut) dan Mustaffa Kamil Ayub (Pasir Salak).

Datin Paduka Tan Yee Kee (Tg Malim), Mahdi Hassan (Bagan Datoh) dan Siti Aishah Shaik Ismail (Tambun) juga akan bertanding kerusi Parlimen.

Artikel Lain