suria

Pekerja Kilang Dipenjara 10 tahun dan Empat Sebatan Kerana Samun Dan Cabul

PETALING JAYA: Seorang pekerja kilang simen dipenjara sejumlah 10 tahun dan empat sebatan rotan setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan berasingan merompak dan mencabul kehormatan seorang ekskutif di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah, di Damansara tahun lepas.

Rivinder Singh, 41, dipenjara lapan tahun dan tiga sebatan atas pertuduhan samun berkawan bersenjatakan sebilah pisau terhadap wanita yang berusia 26 tahun itu dan merampas pelbagai jenis barangan miliknya, termasuk dompet dan kad pengenalan serta kereta Proton Gen-2, di tempat letak The Curve Mutiara Damansara di sini pada 5.15 petang, 27 Mei tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat memerintahkan Rivinder menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 4 April lepas.

Terdahulu, Rivindar yang tidak diwakili peguam, merayu mahkamah agar mengenakan hukuman ringan terhadapnya memandangkan dia menanggung dua anak yang masih bersekolah dan kini disahkan menghidap HIV.

Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana dia pernah disabitkan dengan satu pertuduhan jenayah.

Dalam pertuduhan kedua yang dibacakan di Mahkamah Majistret, Rivindar turut mengaku bersalah mencabul mangsa di tempat, waktu dan masa yang sama.

Majistret Surya Wati Shawal menjatuhi hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 4 April lepas.

Hukuman terhadap Rivindar berjalan serentak.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang melarikan kereta itu ketika mangsa berada di dalamnya bertindak mencabul mangsa tetapi wanita itu berjaya melompat keluar lalu melarikan diri sebaik sahaja kenderaan itu berhenti di tepi lampu isyarat berdekatan Tesco Mutiara Damansara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Bukhari Wan Mohd. BERNAMA

Artikel Lain