suria

Nazri Selar Kenyataan Rafizi Berhubung Pemberian BR1M

KUALA KANGSAR: Hasrat pakatan pembangkang menghapuskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jika memerintah negara menggambarkan mereka tidak prihatin dengan keperluan rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

"Ini jelas menunjukan perasaan busuk hati mereka ini terhadap usaha-usaha kerajaan untuk membantu rakyat yang benar-benar memerlukan.

"(Kenyataan) ini mungkin dibuat kerana dia orang kaya, dia tidak ada hati perut dan tak ada rasa kasihan kepada golongan kurang berkemampuan," katanya pada Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berhubung hasrat pembangkang mahu menghapuskan BR1M jika memerintah negara selepas pilihan raya umum Ke-13.

Rafizi dilaporkan berkata melalui anggaran beliau sendiri, pemberian BR1M yang melibatkan peruntukan antara RM7.2 bilion hingga RM11 bilion dalam tempoh 2014 hingga 2023 itu memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.

Minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membentang manifesto Barisan Nasional (BN) berkata kadar BR1M akan dinaikkan sehingga RM1,200 secara berperingkat untuk isi rumah dan RM600 untuk bujang bagi menangani kos sara hidup, jika BN terus diberi mandat memerintah negara.

Mengenai peluang BN di Parlimen Padang Rengas pada pilihan raya umum ke-13 ini, Mohamed Nazri yakin BN akan mempertahankan kerusi parlimen itu dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh serta merampas semula DUN Lubok Merbau.

Pada pilihan raya umum lepas, Mohamed Nazri mengalahkan Alias Zenon dari PKR dengan majoriti 1,749 undi manakala bagi DUN Chenderoh calon BN Siti Salmah Mat Jusak mengalahkan calon PAS, Mohammad Yassin Mohamed Yusof dengan majoriti 1,039 undi.-BERNAMA

Artikel Lain