suria

MB Selangor Tarik Balik Permohonan Prosiding Komital Terhadap Ahmad Said

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menarik balik permohonan bagi memulakan prosiding komital terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan selepas gagal mematuhi perintah mahkamah.

Keputusan itu dibuat selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk pengubahan perintah persetujuan oleh Khalid bagi kenyataan permohonan maaf suku muka surat yang akan disiarkan di halaman tiga akhbar New Straits Times (NST) dalam tempoh empat belas hari.

Hakim Datuk Lau Bee Lan mengesahkan permohonan defendan untuk pengubahan perintah itu dan mengarahkan NST menyiarkan permohonan maaf itu sebelum 29 April.

Peguam Kanan Persekutuan Abazafree Mohd Abbas memberitahu pemberita bahawa Lau mengesahkan permohonan itu di dalam kamarnya selepas peguam Khalid, S.N. Nair bersetuju menarik balik permohonan kebenaran untuk menyaman Ahmad Said.

Abdul Khalid menfailkan permohonan itu pada 2 April selepas Ahmad Said dan kerajaan gagal mematuhi terma penghakiman persetujuan pada 19 Mac lepas yang dibuat kedua-dua pihak bagi menyelesaikan kes saman fitnah yang difailkan Menteri Besar itu terhadap responden.

Abdul Khalid, 67, dalam permohonan itu mendakwa responden gagal, enggan dan mengabaikan untuk mematuhi perintah mahkamah yang mengarahkan mereka menerbitkan permohonan maaf itu di muka depan akhbar NST.

Khalid, 67, dalam permohonan itu, mendakwa bahawa defendan telah gagal, ditolak dan diabaikan untuk mematuhi perintah mahkamah yang mengarahkan mereka menyiarkan permohonan maaf di muka depan akhbar NST.

Dalam afidavit sokongannya, Khalid menamakan Ahmad Said dan kerajaan sebagai defendan.

Bercakap kepada pemberita, Nair berkata anak guamnya bersetuju kepada penyelesaian itu selepas mempertimbangkan surat NST kepada Pejabat Peguam Negara kerana berdasarkan kedudukan jenama dan iklan di akhbar itu, ia tidak dapat menerbitkan kenyataan maaf itu di muka hadapan.

Di bawah terma penyelesaian perintah yang dipersetujui kedua-dua pihak pada 19 Mac, Ahmad Said hendaklah menerbitkan kenyataan permohonan maaf terbabit di muka depan NST dalam masa empat hari daripada penyelesaian itu.

Kenyataan permohonan maaf yang sama juga harus diterbitkan di akhbar The Star (bukan muka depan) telah dipatuhi defendan.

Pada 27 April 2009 Abdul Khalid menyaman Ahmad Said dan kerajaan Malaysia berhubung kenyataan Ahmad Said mengenai hasil siasatan suruhanjaya itu mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Abdul Khalid berkaitan penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu bagi Hari Raya Aidiladha untuk kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang diwakili Abdul Khalid.

Kes saman itu selesai selepas kedua-dua pihak mencapai penghakiman persetujuan dengan Ahmad Said membacakan kenyataan maaf itu di mahkamah.-BERNAMA

Artikel Lain