suria

Lapan Individu Ditahan Mencetuskan Pergaduhan Di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menahan lapan individu kerana mencetuskan pergaduhan, mendatangkan kecederaan dan melakukan perbuatan khianat di sini sejak pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 3 April lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K.Manoharan berkata empat daripada lapan lelaki yang berusia 20 hingga 40-an itu telah didakwa pada 10 April dan 14 April lepas.

Polis juga membuka enam kertas siasatan berhubung kes berkenaan bagi siasatan lanjut, katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan lain Manoharan berkata polis masih meneruskan siasatan berhubung kes penyebaran cakera video digital (DVD) dan gambar lucah yang dikaitkan dengan pemimpin politik di Besut baru-baru ini.

"Kita mungkin akan memanggil individu yang kaitan dengan video tersebut bagi merakam percakapan dalam masa terdekat dan sehingga kini pihak kami masih mengesan individu yang terlibat dalam pengedaran DVD itu," katanya.

Khamis lepas penduduk di sekitar Besut gempar setelah menemui sampul surat yang diletak di hadapan pagar rumah mereka mengandungi sekeping DVD serta gambar lucah.

Sementara itu jurucakap pilihan raya Polis Kontinjen Terengganu Supt Koh Ah Tiam berkata polis berjaya menahan empat lelaki kerana disyaki terlibat dengan kes tetak seorang lelaki ketika sedang memasang bendera sebuah parti politik di Kemaman Jumaat lepas.

Katanya kesemua suspek berusia antara 28 dan 44 tahun itu ditahan di hadapan Balai Polis Chukai kira-kira 6.45 petang semalam.- BERNAMA

Artikel Lain