suria

Isu Penggunaan Lambang Parti: PSM Mesyuarat Malam Ini

PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa tergempar pada malam Isnin untuk memutuskan sama ada akan bertanding menggunakan lambang parti itu sendiri di kerusi Parlimen Sungai Siput dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, Semenyih dan Jelapang.

Dalam mesyuarat itu juga, PSM akan memutuskan sama ada parti itu akan menurunkan calon untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

Selain perbezaan pendapat dengan desakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu PSM menggunakan lambang parti itu pada pilihan raya umum kali ini, PSM turut kecewa dengan tindakan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan calon PKR untuk bertanding di kerusi DUN Semenyih.

Ini, kata Setiausaha Agung PSM, S.Arutchelvan walaupun parti itu bersetuju untuk bertanding menggunakan lambang PKR di Semenyih.

"(Ahli jawatankuasa pusat PSM Dr Michael) Jeyakumar sebelum ini dimaklumkan bahawa beliau boleh bertanding di bawah lambang PSM di Sungai Siput tetapi mesyuarat dengan Anwar pada 13 April lalu, kami diberitahu sekiranya beliau bertanding menggunakan lambang PSM maka DAP akan menurunkan calon untuk menentangnya.

"Kami juga diberitahu bahawa jika PSM bertanding di ketiga-tiga kerusi (Sungai Siput, Kota Damansara dan Semenyih) menggunakan lambang PKR, DAP tidak akan memberi laluan kepada PSM di Jelapang.

"Malah jika kami menang di kerusi tersebut menggunakan lambang PKR, kami boleh menggunakan lambang PSM dengan serta merta apabila menang.

"Namun, prinsip sama tidak digunakan apabila PSM memenangi dua kerusi pada 2008 dan kini kami diberi perjanjian sama," kata Arutchelvan dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mesyuarat malam Isnin juga akan membincangkan permintaan yang dikemukakan kumpulan alam sekitar dan PSM bahagian Cameron untuk menurunkan calon parti itu di Cameron Higlands, kata Arutchelvan.

Artikel Lain