suria

Salang Tidak Gentar Rancangan PAS, PKR, SWP Tanding di Kerusi Parlimen Julau

Datuk Joseph Salang
 Datuk Joseph Salang
Datuk Joseph Salang

PAKAN: Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata beliau tidak gentar dengan rancangan tiga parti pembangkang untuk bertanding di kawasan parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Berucap pada majlis bersama rakyat dan kemudian pada pertemuan dengan pemberita di Rh.Ko Changgan di Balong, dekat sini malam tadi, beliau berkata setelah Parti Pekerja Sarawak (SWP) mengesahkan calonnya yang akan bertanding di kerusi itu, bakal calon PAS dan PKR kini sedang sibuk turun padang untuk menarik sokongan pengundi.

"Bagi PKR dan PAS, yang merupakan rakan dalam apa yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat, perebutan mereka untuk meletakkan calon di sana menunjukkan ketiadaan kerjasama dan persefahaman antara mereka. "Ini akan menimbulkan masalah pembahagian kerusi, yang merupakan perkara biasa bagi mereka, bukan saja di sini, tetapi juga di kawasan lain," katanya.

Salang berkata masalah itu akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Mengenai SWP, beliau berkata masih belum terlewat untuk parti itu membatalkan niatnya bertanding pada pilihan raya umum kali ini, jika benar ia adalah sebuah parti pro-BN, seperti yang sering didakwa para pemimpinnya.

"Ia hanya mahu bertanding di enam kerusi, tapi berapa banyak dan apa yang boleh dilakukannya, walaupun ia memenangi kesemua enam kerusi itu. Ia akan tetap berada di luar BN.

"Presiden SWP Larry S'ng bermimpi untuk mengambil alih tempat Parti Rakyat Sarawak dalam BN. Tapi, apakah asas lain yang lebih penting dalam perjuangannya untuk membawa lebih banyak kebaikan kepada rakyat, negeri dan negara? kata beliau.

Mengenai PKR, beliau berkata tujuan parti itu hanyalah untuk mengambil alih kerajaan. "Tapi, kita sudah melihat betapa, walaupun mencapai kemenangan di Selangor pada pilihan raya lepas, para pemimpin parti itu nampaknya tidak tahu cara untuk menggunakan kuasa mereka demi manfaat rakyat.

"Mengenai PAS pula, perjuangannya bukan saja tidak relevan dengan penduduk Iban tempatan atau pengundi Cina di Julau, tetapi juga di seluruh Sarawak.

"Malah, selepas pilihan raya kecil Batang Ai (di Sarawak) pada April 2009, para pemimpinnya mengeluarkan kata-kata yang menghina masyarakat Iban dan ini menunjukkan mereka tidak memahami masyarakat itu serta budaya mereka.

"Mungkin juga, PAS hanya ingin menunjukkan bahawa daripada segi semangat, ia sebuah parti pelbagai kaum dan agama, tetapi bukan daripada segi bentuk. Pada saya, jenama Islam yang terdapat pada parti itu juga, nampaknya berlainan," kata beliau.

Salang berkata PAS nampaknya mencampuradukkan agama dengan politik.

"Apabila agama dan politik dicampuraduk, ia akan tercemar," katanya.

Oleh itu, kata beliau, sekiranya pengundi melihat gambaran secara menyeluruh, BN tetap merupakan pilihan terbaik untuk mereka.

"Wakil BN adalah ibarat jambatan yang menghubungkan rakyat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi BN.

"Sekiranya anda bakar jambatan ini dengan tidak mengundi BN pada pilihan raya akan datang, ia bererti anda menolak satu saluran yang paling bernilai untuk menyampaikan sungutan, harapan atau impian anda kepada kerajaan untuk menikmati hari esok yang lebih baik," katanya.

Bagaimanapun Salang yakin rakyat Sarawak akan terus menyokong BN. -BERNAMA

Artikel Lain