suria

PRU-13: BN Kedah Umum Calon Selasa

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah akan mengumumkan senarai penuh calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang Selasa ini.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dijadual akan mengumumkan senarai calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam satu majlis khas di Dewan Anak Bukit.

Difahamkan pengumuman itu bakal dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan watikah lantikan calon kepada semua pengerusi BN negeri di Kuala Lumpur pada Isnin.

Pengumuman yang bakal dibuat oleh Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah itu dijangka bakal menamatkan spekulasi mengenai kedudukan senarai calon termasuk di beberapa kerusi panas.

Antara yang menjadi perhatian ialah kedudukan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Semua pihak termasuk parti lawan pastinya akan memberi tumpuan kepada kerusi yang bakal ditandingi Mukhriz yang dilihat sebagai indikasi kepada penentu calon Menteri Besar jika BN berjaya merampas kembali Kedah.

Selain Mukhriz, Ahmad Bashah turut disebut-sebut bakal menduduki kerusi berkenaan.

Artikel Lain