suria

Kerajaan Sentiasa Pastikan Rakyat Nikmati Kehidupan Lebih Selesa - Md Isa

KANGAR: Kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum di negara ini dalam pelbagai program yang dirancang, khususnya di Perlis, bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih selesa, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Berucap merasmikan Persatuan Kebajikan India Indera Kayangan Perlis di Arau dekat sini malam tadi, beliau berkata sehubungan itu rakyat perlu menghayati gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya kerajaan negeri Perlis juga sentiasa mencorak pembangunan dan program untuk rakyat dengan mengambil kira kepentingan semua kaum termasuk masyarakat India dan berharap mereka menyokong apa juga program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

Bagi memastikan kehidupan mereka terus berada dalam keadaan selesa, mereka juga perlu menterjemahkan keyakinan itu dengan menyokong BN untuk terus kekal mentadbir negara ini pada pilihan raya umum ke-13.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan India Indera Kayangan Perlis, R.Dhamodaran berkata, pihaknya sentiasa menyokong penuh usaha murni kerajaan yang jelas sentiasa mengotakan janji dengan rakyat.

Katanya, persatuan yang diwujudkan dua tahun lalu itu juga akan berusaha memastikan kaum India di negeri ini akan terus kekal memberi sokongan kepada BN. -BERNAMA

Artikel Lain