suria

Dua Anggota DAP Diminta Hadir Siasatan Dakwaan Penyelewengan CEC Pada 18 April

GEORGE TOWN: Pendaftar Pertubuhan (ROS) memanggil dua anggota DAP untuk menghadiri siasatan dakwaan penyelewengan ketika pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu pada 18 April ini.

Mereka ialah Pooi Weng Keong dan Dr Ong Kian Meng.

Pengerusi DAP Karpal Singh berkata DAP telah diminta untuk menyediakan beberapa dokumen berkaitan dengan pemilihan parti pada Disember lepas kepada ROS termasuk notis yang dihantar kepada perwakilan.

"Hari penamaan calon pada 20 April dan penyiasatan ini akan mengambil masa. DAP akan membekalkan ROS dengan semua maklumat dan dokumen-dokumen sokongan mengenai pemilihannya, mengikut undang-undang," katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Karpal menegaskan bahawa terdapat masalah teknikal pada pemilihan parti itu tetapi tidak ada penipuan dan salah tanggapan sebagaimana dakwaan pihak-pihak tertentu termasuk bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim.

Beliau berkata pembatalan pendaftaran parti politik adalah suatu perkara yang serius dan menyatakan bahawa terdapat beberapa saranan supaya DAP dibatalkan pendaftarannya.

"Tidak dinafikan, ROS mempunyai kuasa untuk berbuat demikian (membatalkan pendaftaran DAP) tetapi ia hanya boleh dilakukan selepas siasatan secara mendalam dan bukti yang kukuh sebelum membatalkan pendaftaran sebuah parti politik," katanya.

Beliau berkata DAP harus dibenarkan untuk menggunakan simbolnya pada pilihan raya akan datang memandangkan adalah mustahil untuk mendapat keputusan sebelum 20 April kerana siasatan bermula pada 18 April.-BERNAMA

Artikel Lain