suria

Rumah Penduduk Yang Terjejas Di Tanjung Labian Akan Dibina Semula - Najib

LAHAD DATU: Rumah penduduk di gugusan Tanjung Labian dekat sini yang terjejas dalam insiden pencerobohan militan dari selatan Filipina, baru-baru ini, akan dibina semula dengan pembiayaan sepenuhnya oleh kerajaan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu.

Perdana Menteri berkata pembinaan semula itu akan dibuat di tapak asal.

"Rumah-rumah yang akan dibina ini nanti jauh lebih baik dari rumah asal," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pejabat pusat pemerintahan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di sini.

Bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di Felda Sahabat, Najib berkata 100 polis bantuan dan 400 askar wataniah juga akan ditempatkan di kawasan berkenaan.

Di samping itu, beliau menjamin kegiatan ekonomi di daerah itu akan berjalan seperti yang dirancang, khususnya industri pelancongan dan Gugusan Perindustrian Minyak Sawit (POIC).

"Segala tanggapan di segi keselamatan tidak terjamin sama ada realiti ataupun persepsi, kita telah tangani termasuk memulihkan industi pelancongan yang telah menerima kesan daripada insiden yang telah berlaku.

"Namun ada tanda-tanda ianya dapat dipulihkan dalam sedikit masa lagi. Setakat ini tidak ada laporan yang pelaburan terjejas untuk POIC dan pembangunan POIC akan berjalan seperti yang dirancangkan," katanya.

Berikutan pencerobohan Febuari lepas, Operasi Daulat membabitkan operasi tentera dan polis dalam mempertahankan kedaulatan negara dilancarkan 5 Mac lalu apabila militan mula membunuh dua anggota polis dalam serangan hendap pada 1 Mac.-BERNAMA

Artikel Lain