suria

Penurunan Mendadak Harga Kereta Boleh Jejas Industri

KUALA LUMPUR: Penurunan harga kereta tidak boleh dilakukan secara mendadak kerana ia boleh menjejaskan industri automotif secara keseluruhannya, kata seorang bekas peserta industri automotif.

Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir, yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif Proton Holdings Bhd berkata banyak faktor penting yang perlu diambil kira sebelum harga kereta dapat diturunkan.

"Pada pandangan saya, ia boleh dibuat tetapi kena dikaji secara keseluruhan dan harus mengambil kira banyak aspek.

"Banyak pihak-pihak berkepentingan yang terlibat sebab ini bukan industri kecil tetapi satu industri yang besar di mana ramai usahawan yang telah melabur," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai usaha kerajaan menurunkan harga kereta secara berperingkat dan manifesto Pakatan Rakyat yang bercadang mahu menurunkan harga kereta secara serta merta.

Syed Zainal berkata ia boleh dilakukan secara berperingkat tetapi harus mengambil kira beberapa faktor penting seperti pasaran kereta terpakai dan kesan kepada pihak-pihak berkepentingan dalam industri seperti pembekal komponen kereta.

Katanya, bukan sahaja pengeluar kereta malah pembekal komponen alat ganti kereta juga akan turut terjejas sekiranya harga kereta diturunkan secara mendadak.

"Kita harus mengambil kira hal ehwal mereka supaya ekonomi kita sentiasa kukuh dan pasaran kereta kita stabil dan mampan pada jangka masa yang panjang," katanya.

Beliau berkata, walaupun usaha menurunkan harga kereta ini memang sudah lama diusahakan oleh kerajaan, ia perlu dibuat dengan mengambil kira keseluruhan ekosistem industri itu sendiri.

Menurutnya, semasa harga kereta diturunkan sebanyak lima peratus beberapa tahun lepas, pasaran kereta terpakai menyusut sehingga 10 peratus.

"Sekiranya kita tidak mengambil kira pasaran kereta terpakai, ia akan menjadi satu keadaan yang agak serius yang boleh menyebabkan ekonomi dan pasaran kereta itu sendiri terbantut," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain