suria

Pelatih PLKN Bercuti Dari 30 April Hingga 4 Mei

JELI: Kira-kira 31,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diberi cuti selama lima hari bermula 30 April hingga 4 Mei depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Beliau berkata pemberian cuti penggal latihan kumpulan kedua siri 10/2013 itu melibatkan semua 79 kem PLKN yang sedang beroperasi di seluruh negara.

"Cuti penggal latihan itu menjadi amalan biasa PLKN melalui modul siri latihannya setiap tahun.

"Secara kebetulan cuti ini juga memberi peluang kepada lebih 3,500 jurulatih pulang ke tempat masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Kemasyarakatan Briged Sukarela Khidmat Negara (BSKN) di Sekolah Kebangsaan Gual Jedok, di sini Sabtu.

Majlis itu disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Menurut Abdul Hadi, pada mulanya JLKN mengumumkan cuti penggal latihan bagi siri latihan itu ditetapkan dari 1 hingga 5 Mei, namun dipinda ke tarikh baharu bagi melicinkan pergerakan masuk semula pelatih ke kem berkenaan.

Katanya tugas mengendalikan kem pada hari pengundian itu akan dipertanggungjawabkan kepada anggota tentera.

Sementara itu, beliau berkata operasi dua kem PLKN di Lahad Dtu dan Sandakan di Sabah masih ditutup ekoran percerobohan pengganas di negeri itu baru-baru ini. - BERNAMA

Artikel Lain