suria

Modal Insan Berkemahiran Tinggi Penting Bagi Kejayaan Masa Depan Malaysia

KUCHING: Kejayaan masa depan negara amat bergantung kepada usaha memupuk pemahaman terhadap keperluan untuk memiliki modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing yang dapat melonjakkan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan yang dibentuk oleh Barisan Nasional (BN) memberi sepenuh perhatian untuk menambah baik kualiti siswazah di negara ini selain instituti pengajian tinggi itu sendiri.

Bercakap pada majlis penyerahan sijil dan surat jemputan bagi penubuhan kampus cawangan Shanghai Jiao Tong University di sini hari ini, beliau berkata matlamat dasar pendidikan negara adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah hab pendidikan global dan merubah universiti di Malaysia menjadi institusi bertaraf dunia.

Selain menggalakkan universiti asing untuk mewujudkan kampus cawangan di Malaysia, beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi turut berusaha ke arah mengantarabangsakan universiti di Malaysia menerusi pengambilan petugas akademik asing yang terbaik dan meningkatkan pengambilan pelajar dari luar negara.

"Penubuhan kampus cawangan Shanghai Jiao Tong University sejajar dengan matlamat plan strategik pendidikan tinggi negara untuk menyediakan pendidikan tinggi berkualiti kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Muhyiddin berkata universiti di Malaysia juga digalakkan untuk mengadakan kerjasama pendidikan dengan sekutu di peringkat antarabangsa dan meningkatkan jaringan antarabangsa mereka.

Dengan reputasi Shanghai Jiao Tong University sebagai antara empat universiti terkemuka di China dan terkenal kerana membangunkan teknologi tercanggih, beliau menyuarakan harapan agar penubuhan kampus cawangan di Sarawak akan merangsang pemindahan teknologi.

"Kepakaran yang mereka miliki akan banyak membantu dan memudahkan Malaysia dalam pembangunan sektor berteknologi tinggi, misalnya pembangunan satelit mikro untuk memantau alam sekitar dan sumber asli," katanya.

Beliau berkata penubuhan kampus cawangan itu akan terus memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China sebagai tambahan kepada hubungan muhibah yang sedia terjalin antara kedua-dua negara menerusi kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.

"Saya melihat langkah selanjutnya adalah perkembangan dalam pengiktirafan rangka kerja ijazah sarjana muda di China dan Malaysia," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain