suria

DBKU Benar Gantung Bahan Kempen PRU-13 Selepas Penamaan Calon

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hanya membenarkan bahan kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) digantung mulai 21 April, sehari selepas hari penamaan calon.

Mengikut undang-undang kecil (Pengiklanan Pilihan Raya) 2011 DBKU, jentera parti atau mereka yang dipertanggungjawabkan memasang bahan kempen, perlu mendapatkan permit penggantungan bahan kempen dari DBKU.

Menurut kenyataan DBKU pada Sabtu, deposit RM10,000 dikenakan bagi memastikan semua parti menurunkan bahan kempen itu dalam tempoh 14 hari selepas pengundian.

"Bahan kempen tidak boleh menutup papan tanda atau menganggu penglihatan pengguna jalan raya," kata DBKU.

Parti yang bertanding juga disyaratkan memastikan struktur penggantungan bahan kempen kukuh, bahan kempen tidak menghalang lalu-lintas dan tidak boleh menggantung bahan kempen di kawasan bangunan kerajaan, katanya.

Menurut kenyataan itu, mereka yang gagal mematuhi arahan berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 dan wang deposit tidak dikembalikan.-BERNAMA

Artikel Lain